0

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Kota Dalam terletak di pinggir Jalan Kluang lebih kurang 5 km dari pekan Ayer Hitam dan 28 km dari Bandar Batu Pahat. Sekolah ini berada di kuala Kampung Parit Kangkar. Sekolah Kebangsaan Kota Dalam, Parit Kangkar, 86100 Ayer Hitam, Batu Pahat mendapat nama dari sempena Kampung Kota Dalam.
Kampung Kota Dalam adalah gabungan nama enam buah kampung iaitu Kampung Dalam, Kampung Parit Khalil, Kampung Parit Kassan Jegul, Kampung Parit Semo, Parit Sonto dan SK Batu 18. Kewujudan sekolah ini adalah hasil pemuafakatan JKKK Kampung Kota Dalam yang diterajui oleh Tn. Haji Abdul Rahman bin Semo selaku Ketua Kampung ketika itu dengan penggabungan dua buah sekolah iaitu SK Parit Semo dan SK Batu 18.
SK Kota Dalam mula dinobatkan penggunaannya pada 1 Jun 1971. Bangunan asalnya terdiri daripada sebuah bangunan dua tingkat sepanjang 90 kaki. Bangunan ini mempunyai 4 bilik darjah, 1 pejabat dan bilik guru seluas 1.5 bay serta 2 unit tandas. Bagi menampung kekurangan bilik darjah, SK Batu 18 terus digunakan sebagai sekolah cawangan sehingga tahun 1978.
Pada tahun 1978 sebuah lagi bangunan dua tingkat dibina sepanjang 100 kaki mengandungi 4 bilik darjah, 2 unit tandas dan 2 bilik stor. Bangunan kantin yang agak luas dan sebuah balai basikal juga dibina oleh Jabatan Kerja Raya bersama Kementerian Pendidikan. Pada awal 1979, SK Kota Dalam lengkap fizikalnya. Bangunan baru digunakan sepenuhnya dan SK Batu 18 ditutup dengan rasminya.
Pembangunan fizikal sekolah berkembang pesat sesuai dengan kehendak aspirasi pendidikan moden. Sebuah bangunan Pusat Sumber yang lengkap dibina pada tahun 1980. Ruang-ruang yang disediakan ialah Pusat Sumber atau Perpustakaan, bilik Audio-visual dan bilik serbaguna 2 buah. Bangunan dua tingkat ini berukuran 100 kaki bersambung dengan bangunan tambahan tahun 1978. Pembinaannya siap dan digunakan pada awal tahun 1980.
Bagi menambah lengkapkan kemudahan yang sedia ada di sekolah ini, sebuah bangunan Pusat Kegiatan Guru Ayer Hitam dibina di perkarangan hadapan sekolah pada tahun 1992. Setelah siap kerja-kerja pembinaannya, ia dinamakan PKG (J) 07 SK Kota Dalam. Guru-guru sekolah dalam Zon Ayer Hitam mendapat manafaat daripada pembinaan PKG ini dan secara langsung SK Kota Dalam menjadi pusat tumbuhan dalam pelbagai aktiviti profesional mahupun sosial.
Pada 16 Mei 1994 SK Kota Dalam telah dinaik tarafkan daripada SK Gred B kepada SK Luar Bandar Gred A. SK Kota Dalam mempunyai hanya satu sesi persekolahan iaitu sesi pagi sahaja. Sidang persekolahan bermula jam 7.00 pagi dan tamat pada jam 1.30 tengah hari.
Pada akhir tahun 1998 sebuah lagi bangunan dibina untuk menampung keperluan bilik-bilik khas dan bilik darjah. Pada awal tahun 2000 bangunan tersebut digunakan sepenuhnya. Bangunan 3 tingkat ini meliputi Makmal Sains, Bilik Kemahiran Hidup, Bilik Pusat Sumber, Bilik Muzik, Bilik Tayang, Bilik Komputer, Bilik Sukan, Bilik Gerakan atau Bilik Mesyuarat, 6 bilik darjah, 2 bilik stor, 2 unit tandas guru dan 2 unit tandas murid.
Pada tahun 2008 sebuah lagi bangunan tiga tingkat dibina yang dijangka siap pada Mac tahun 2009. Bangunan ini siap sepenuhnya dan majlis penyerahannya diadakan pada 28 Oktober 2009 (Rabu). Bangunan ini mempunyai 6 buah bilik darjah, sebuah dewan terbuka, 1 bilik j-Qaf, 1 bilik SAL (Self Akses Learnig) 1 Bilik Mesyuarat, bilik keselamatan, 4 bilik tandas (murid lelaki, murid perempuan, guru lelaki dan guru perempuan) dan beberapa bilik stor. Semoga dengan adanya pertambahan bilik-bilik khas akan menambah lagi minat dan usaha semua guru SK Kota Dalam dalam bidang Kurikulum dan Kokurikulum.